Friday 1 July 2011

Malaysian Dietary Guidelines 2010 - Panduan pemakanan 2010

Kebanyakan masalah kesihatan adalah berpunca daripada amalan pemakanan yang tidak sihat. Gejala penyakit seperti diabetes, obesiti dan darah tinggi kian meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia dan menjadi salah satu punca utama kepada kematian. Lihat sahaja berapa ramai rakyat Malaysia yang mati secara tiba-tiba akibat serangan penyakit jantung. Antara faktor penyumbang ialah sikap mengabaikan konsep pemakanan yang sihat. Persoalannya, adakah kita juga ingin menjadi penyumbang kepada statistik kematian disebabkan oleh penyakit-penyakit ini?

Oleh hal yang demikian, pada tahun 2010, Kementerian Kesihatan Malaysia telah pun menerbitkan Panduan Pemakanan bagi rakyat Malaysia. Ianya bertujuan untuk mendidik semua golongan masyarakat (yang berumur 2 tahun dan ke atas) tentang konsep pemakanan dan gaya hidup sihat. Untuk itu, 14 garis panduan telah ditetapkan untuk memudahkan kefahaman setiap individu. Garis panduan adalah seperti berikut:


1. Pelbagaikan jenis makanan anda dan makan mengikut jumlah yang disarankan.
2. Kekalkan berat badan anda ditahap yang sihat.
3. Amalkan gaya hidup yang aktif setiap hari.
4. Ambil secukupnya kumpulan makanan yang berkanji atau berkabohidrat seperti nasi dan bijiran (terutamanya mil penuh) dan ubi.
5. Lebihkan makanan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.
6. Ambil dengan kuantiti yang sederhana bagi kumpulan makanan yang berprotein seperti ikan, daging, ayam, telur dan kekacang.
7. Ambil dengan secukupnya susu dan produk-produk tenusu.
8. Hadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak dan kurangkan penggunaan minyak dalam masakan.
9. Pilih dan sediakan makanan yang kurang garam.
10. Pilih makanan dan minuman yang kurang gula.
11. Banyakkan pengambilan air setiap hari.
12. Berikan susu badan secara eksklusif (tanpa makanan lain) pada anak anda sehingga berusia 6 bulan dan teruskan penyusuan sehingga 2 tahun.
13. Pilih makanan dan minuman yang selamat dan bersih.
14. Gunakan label dan informasi makanan secara efektif.

Untuk keterangan bagi setiap garis panduan di atas, sila berjumpa dengan pegawai pemakanan anda atau hubungi kami secara terus...

"Well Diet menyediakan khidmat ceramah tentang amalan pemakanan dan gaya hidup sihat. Untuk mendapatkan maklumat dan nasihat pemakanan dengan lengkap dan betul, adalah digalakkan anda berjumpa terus dengan pegawai pemakanan yang bertauliah."

No comments: